Friday, 22 August 2014
Bersediakah Selangor dengan Menteri Besar Seorang Wanita?
Nampaknya isu pentadbiran kerajaan negeri Selangor semakin menarik apabila PAS secara tiba-tiba memberi sokongan penuh kepada Pakatan Rakyat. Kini, jawapan kepada Menteri Besar Selangor terletak kepada perkenaan Sultan.
Namun, ada 
beberapa isu yang menarik perhatian umum tentang DS Dr. Wan Azizah ini. 
Pertamanya sekiranya DS Dr. Wan Azizah diterima oleh Sultan Selangor, 
beliau akan menjadi wanita pertama yang berjaya menjadi Menteri Besar di
 Malaysia ini. Tradisi turun temurun yang menyaksikan golongan lelaki 
yang mengungguli jawatan tersebut telah berjaya ditamatkan.
 
![]()  | 
| Google Image | 
Apakah 
pandangan Islam terhadap pelantikan wanita sebagai kepimpinan negeri 
yang menguruskan urusan rakyat termasuklah urusan umat Islam dan agama 
Islam di negeri tersebut? Layakkah seorang wanita dipertanggungjawabkan 
melaksanakan tugas itu dalam waktu yang sama, masih terdapat ramai lagi 
lelaki yang layak dan mungkin lebih layak menjawat jawatan itu?
Antara 
kriteria utama seorang yang dilantik sebagai pemimpin ialah kemampuannya
 menjaga agama dan mendaulatkan syariat Islam, mempunyai kekuatan 
fizikal, mental, emosi dan spiritual yang baik, seorang yang bertakwa 
kepada Allah SWT, bersifat amanah, adil dan tidak melakukan 
diskriminasi, bertanggungjawab, tegas dan berprinsip, memelihara akhlak 
Islam dan menunaikan janji.
Saya cuba 
meneliti beberapa pandangan ulama tentang pelantikan wanita menjadi 
pemimpin umat Islam. Para ulama seperti Imam al-Mawardi (1058) antara 
yang banyak menulis tentang buku politik Islam seperti al-Ahkam al-Sultaniah, Qanun al-Wizarah dan Nasihah al-Muluk.
Menurut 
beliau, jawatan seperti Perdana Menteri atau juga menteri ketenteraan 
adalah tidak dibolehkan bagi wanita serta tidak sesuai dengan kemampuan 
sifat mereka terutama apabila melibatkan ketenteraan. Beliau juga 
menyenaraikan sifat lelaki sebagai salah satu daripada 10 syarat kepada 
kepimpinan di peringkat tafwidh (pembuat dasar) tetapi tidak di peringkat tanfiz (pelaksana).
 Maksudnya wanita boleh dilantik sekiranya menjawat jawatan di peringkat
 pelaksana bukan pembuat dasar yang mungkin melibatkan keselamatan dan 
strategi negara.
Manakala Imam Imam al-Syawkani (1255 H)  dalam Kitab Nailul Awtar menyatakan
 tidak harus wanita memegang tampuk tertinggi pemerintahan. Para ahli 
fikah juga membawa dalil daripada satu hadis yang diriwayatkan daripada 
Buraidah:
وروى بريدة ، عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أنه قال : القضاة
 ثلاثة ; اثنان في النار وواحد في الجنة ، رجل علم الحق فقضى به ، فهو في 
الجنة ، ورجل ، قضى للناس على جهل ، فهو في النار ، ورجل جار في الحكم ، 
فهو في النار 
Maksudnya:
Dari 
Buraidah dari Nabi SAW : “Hakim itu ada tiga, dua masuk neraka seorang 
masuk syurga. Seorang lelaki yang mengetahui kebenaran lalu dia 
menghukum dengannya, tempatnya adalah syurga, seorang lelaki menghukum 
seseorang dalam keadaan dia jahil, tempatnya dalam neraka dan seorang 
lelaki yang mengetahui kebenaran tetapi zalim dalam hukumannya, 
tempatnya dalam neraka…..” ( HR Ibn Majah, Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan
 al-Hakim).
Perkataan 
Qadhi (kalimah khas untuk lelaki sahaja dalam bahasa Arab) yang diguna 
di dalam hadis ini membuktikan jawatan qadhi dan hakim terhad hanya 
untuk kaum lelaki, begitu jugalah qiasnya dengan pemerintah.
Ibn 
Qadamah dalam Kitab al-Mughni menyebut bahawa Ibn Jarir mengharuskan 
wanita menjadi mufti dan qadhi. Manakala Abu Hanifah pula mengharuskan 
wanita menjadi qadhi tetapi tidak dibenarkan terlibat dalam urusan 
hukuman yang berkaitan dengan hudud. Antara dalil yang menghalang 
penglibatan wanita adalah hadis daripada Rasulullah SAW:
قول النبي صلى الله عليه وسلم : ما أفلح قوم ولوا أمرهم امرأة 
 Maksudnya:
Sabda Rasulullah SAW: “Tidak akan berjaya satu kaum yang urusan mereka diperintah oleh wanita.”
Berdasarkan
 kepada hadis ini dan pengecualian wanita daripada menjadi hakim yang 
berkaitan dengan hukuman hudud, Ibn Qadamah berpendapat wanita tidak 
dibenarkan memegang jawatan pemimpin tertinggi umat Islam apatah lagi 
memerintah negara. Sebab itulah Rasulullah SAW tidak pernah melantik 
mana-mana wanita pada zaman Baginda sebagai hakim atau gabenor wilayah. 
Walau bagaimanapun, Prof. Dr. Yusof al-Qardawi dalam kitabnya Min Fiqh al-Daulah fil Islam,
 mempunyai pandangan yang sedikit berbeza. Beliau berpandangan dalam 
konteks kepimpinan dunia hari ini, beliau lebih cenderung mengharuskan 
wanita memegang kesemua jawatan termasuk jawatan Perdana Menteri dengan 
beberapa dengan beberapa syarat yang ketat.
Antara syarat bagi mengharuskan pelantikan wanita ialah:
a- Tiada pemimpin lelaki yang lebih layak untuk menyandang jawatan tersebut pada ketika itu
b-  Mempunyai rumah tangga yang sejahtera dan tidak gagal dalam mengurus anak-anak.
c- Tidak 
membuat keputusan secara peribadi dalam memutuskan hal-hal besar negara,
 bahkan mestilah membuat keputusan secara kolektif dan syura bersama   
pemimpin pelbagai peringkat.
d- 
Berkewajipan baginya untuk memelihara adab-adab Islam semasa keluar 
rumah seperti menutup aurat dengan sempurna, tidak berwangian dan tidak 
berlaku tabarruj.
e- Mendapat keizinan suami.
f-  Umur calon hendaklah sekitar 45 ke atas.
Syarat ini
 jelas menunjukkan kelayakan sebagai satu syarat utama dalam menjadi 
pemimpin. Islam mengharuskan pelantikan wanita sebagai pemimpin umat 
Islam yang mengurus hal ehwal agama Islam sekiranya sudah tidak ada lagi
 yang bernama lelaki yang layak menjawat jawatan tersebut. Tugas sebagai
 ketua menteri atau menteri besar bukan seumpama mengurus sebuah 
syarikat dan sebuah NGO. Tanggungjawab menteri besar merangkumi aspek 
agama Islam dan kedudukan umat Islam di negeri yang ditadbirnya.
DS Dr. Wan
 Azizah adalah presiden parti PKR. Ahli PKR sendiri yang melantik DS Dr.
 Wan Azizah sebagai presiden parti. Kemungkinan juga tidak ada lelaki 
yang lebih layak dalam PKR bagi menjawat jawatan presiden sehingga semua
 ahli parti sepakat melantik beliau. Sekiranya rakyat Selangor belum 
bersedia menerima wanita sebagai Menteri Besar, rakyat kena tolak Parti 
Keadilan Rakyat yang menobatkan wanita sebagai presiden parti.
Tidak 
mustahil suatu masa nanti rakyat Malaysia bakal menerima Perdana Menteri
 wanita sekiranya parti yang menobatkan wanita sebagai presiden parti 
masih mendapat tempat di hati rakyat. 
Bersediakah kita semua?
Bersediakah kita semua?
Subscribe to:
Post Comments
                        (
                        Atom
                        )
                      







No comments :
Post a Comment