Isu semasa dunia islam

Thursday, 3 April 2014

Ajal Dalam Tidur

No comments :

SUATU ketika al-Bara’ bin Azib r.a berkata: Bersabda kepadaku Rasulullah SAW yang bermaksud apabila kamu mendatangi tempat tidurmu, maka berwuduklah seperti kamu hendak melakukan solat. Kemudian berbaringlah di atas bahagian tubuh yang kanan. Lalu ucapkanlah: Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku menyerahkan urusanku kepada-Mu, aku menyandarkan punggungku kepada-Mu, kerana senang dan takut. Tidak ada tempat perlindungan dan penyelamat daripada-Mu kecuali kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab yang telah Engkau turunkan dan nabi yang telah Engkau utuskan. Apabila kamu meninggal dunia, maka kamu meninggal dalam keadaan fitrah dan jadikan lah ia ucapan terakhirmu. (riwayat Bukhari)

Ini suatu amalan yang sungguh mudah dan bermanfaat. Bayangkan dengan membaca doa seperti di atas, maka seseorang jika dalam tidurnya menemui ajal, maka ia akan dinilai Allah SWT sebagai mati dalam keadaan fitrah.

Ini bererti ia mati dalam keadaan dosanya diampunkan Allah SWT, sebagaimana keadaannya ketika ia dilahirkan.

Bersabda Nabi SAW yang bermaksud: Setiap yang lahir dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Bukhari)

Ajaran Islam tidak membenarkan konsep ‘dosa warisan’. Islam memandang bahawa bayi yang baharu lahir, siapapun dia, adalah lahir dalam keadaan fitrah, bersih, suci tanpa dosa apa pun. Islam tidak mengakui istilah ‘anak haram’. Kalaupun ada anak yang lahir daripada angkara zina, maka yang berdosa adalah perbuatan kedua-dua ibu bapanya, bukan si bayi.

Sesungguhnya beruntunglah orang yang ketika meninggal dunia dinilai sebagai meninggal dalam keadaan fitrah. Bererti ia akan menerima ganjaran semata-mata daripada pelbagai perbuatan baik yang telah dikerjakannya di dunia.

Melainkan apabila dia mempunyai kesalahan terhadap sesama manusia. Maka ini tentu bakal diproses oleh Allah SWT dan tentunya Allah tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya.

Islam memandang bahawa pada saat seseorang sedang tidur bererti rohnya berpisah daripada badannya. Ketika ia bangun daripada tidurnya bererti Allah berkenan mengembalikan roh ke dalam jasad orang itu.
Namun jika Allah berkehendak lain, tentu Dia berhak menahan roh orang itu untuk selamanya sehingga tidak kembali ke badannya.

Inilah yang disebut dengan peristiwa kematian. Seorang mukmin yang mengerti dan menyakini konsep ini tentu tidak akan berangkat tidur begitu sahaja tanpa mempersiapkan kemungkinan dirinya tidak akan bangun lagi untuk selamanya, iaitu meninggal dunia atau mati dalam tidurnya.

Kita sering mendengar orang yang mati dalam tidur. Oleh kerana itu, Sayidina Ali bin Abu Talib berkata: “Berapa banyak orang yang menghadapi sehari tidak cukup dan menanti hari esok yang tidak akan muncul."
Firman Allah SWT bermaksud: Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa orang yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir. (az-Zumar: 42)

Oleh itu, ketika Rasulullah SAW memberitahu kita bagaimana cara terbaik mempersiapkan diri menghadapi kemungkinan ajal menjemput saat sedang tidur, sudah sewajarnya kita patuh menjalankannya dengan penuh rasa bersyukur.

Tidur tidak sekadar merehatkan tubuh badan, otot dan fikiran setelah seharian bekerja. Tidur adalah ibarat kematian atau kebangkitan. Ini tercermin daripada doa yang sering dibaca sebelum tidur dan selepas terjaga daripadanya.

Para solehin selalu mengertikan tidur dengan kematian. Bagi mereka, tidur adalah kematian sesaat. Ini terlihat daripada cara mereka tidur menghadap kiblat, iaitu tidur di atas sisi kanan seperti mayat berbaring di liang lahad dengan bahagian depan badan menghadap kiblat.

Hujjatul Islam, Imam Ghazali dalam kitabnya, Bidayatul Hidayah menganjurkan seorang mukmin sebelum tidur menuliskan wasiat terlebih dahulu, kerana berkemungkinan rohnya diambil Allah SWT saat sedang tidur.-sumber

No comments :

Post a Comment