Thursday, 3 April 2014
Pengguguran Janin:Pandangan Ulama
PENGGUGURAN kandungan bukan merupakan perkara baharu dalam masyarakat hari ini, tetapi ia merupakan suatu masalah yang kian meruncing dan memerlukan perhatian semua pihak. Dalam kitab-kitab fikah klasik ia dibincangkan dalam bab Jenayah kerana kesan perbuatan seperti itu boleh melibatkan soal pembunuhan bayi dan sebagainya.
Pengguguran (al-ijhadh) bermaksud menggugurkan janin yang masih belum sempurna penciptaannya sebelum tiba tempoh lahirnya. (Mustafa, Ibrahim et.al.,al-Mujam al-wasit, cet. ke-2, Istanbul: Dar al-Dawah, 1989, jil. 1, hlm. 144)
Rasulullah SAW menjelaskan peringkat perkembangan janin dalam sebuah hadis yang bermaksud: Abu Abdul Rahman; Abdullah bin Masud berkata, Nabi Muhammad, orang yang paling benar dan paling dipercayai, pernah memberitahu kami, Sesungguhnya setiap orang daripada kalian dicipta di dalam perut rahim ibunya selama 40 hari dalam bentuk titisan air mani (nutfah), kemudian dia menjadi segumpal darah (alaqah) selama 40 hari juga, lalu menjadi seketul daging (mudghah), juga selama tempoh yang sama. Kemudian Allah menghantar malaikat supaya meniupkan roh kepadanya. Malaikat itu diberikan empat perintah, iaitu supaya menuliskan rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan sama ada dia akan sengsara ataupun bahagia... (riwayat Bukhari dan Muslim)
Imam al-Ghazali (w 505H); ulama bermazhab Syafie menjelaskan, Menggugurkan janin (al-ijhadh) dan menanam bayi hidup-hidup (al-wad) merupakan satu jenayah ke atas makhluk yang wujud. Terdapat beberapa tahap kewujudan, pertamanya ketika benih lelaki memasuki rahim wanita, lalu bercampur antara benih lelaki dan perempuan serta ia bersedia untuk menerima kehidupan, yang dinamakan nutfah (zigot).
Menggugurkan nutfah merupakan satu jenayah. Jika nutfah itu berubah menjadi alaqah (epigenesis) dan mudghah (somit), maka jenayah menggugurkannya menjadi semakin berat. Seterusnya jika telah sempurna bentuk tubuh badannya dan telah ditiupkan roh, maka jenayah menggugurkannya menjadi lebih berat.
Jenayah yang paling berat apabila bayi yang telah lahir hidup dibunuh." (al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad, Ihya ulum al-din, Kaherah: al-Matbaah al-Uthmaniyah, 1352H, jil. 2, hlm. 47 )
Wahbah al-Zuhaili berkata, Pendapat yang lebih tepat (rajih) menurut saya ialah dilarang menggugurkan kandungan seawal usia kandungan kerana ia sudah dianggap bermulanya sebuah kehidupan dan bermulanya perkembangan janin. Melainkan jika terdapat darurat seperti penyakit yang merbahaya, kanser atau adanya keuzuran seperti terputus susu ibu kesan daripada mengandung, sedangkan ibu itu sedang menyusukan bayinya serta dalam masa yang sama, bapa bayi itu tidak mampu membayar upah ibu susu dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan bayi. Saya lebih cenderung kepada pendapat al-Ghazali yang menganggap pengguguran itu walaupun pada awal kandungan ia adalah seperti dosa menanam anak hidup-hidup serta ia adalah perbuatan jenayah ke atas makhluk yang hidup." (al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, cet. ke-3, Dimashq: Dar al-Fikr, 1989, jil. 3, hlm. 557)
Imam Qadi Khan memberikan contoh keuzuran yang membolehkan seseorang wanita menggugurkan kandungannya, Seorang wanita yang sedang menyusukan anaknya, kemudian dia mengandung, lalu terhenti susunya serta dalam masa yang sama, bapa kanak-kanak itu tidak mampu membayar upah ibu susu dan dikhuatiri situasi tersebut menjejaskan keselamatan kanak-kanak itu.
Para ulama berpendapat, Wanita itu dibenarkan untuk menggugurkan kandungannya selagi ia masih berupa nutfah, alaqah, atau mudghah yang masih belum memiliki anggota badan. Mereka menjelaskan tempoh kandungan itu masih belum melebihi 120 hari.
Mereka membenarkan untuk digugurkan segumpal darah tersebut, kerana ia masih belum dianggap seorang manusia. Ia dibenarkan untuk menjaga nyawa seorang manusia (iaitu kanak-kanak yang sedang menyusu tersebut)." (Qadi Khan, al-Fatawa al-Khaniyah, dlm. al-Fatawa al-Hindiyah, Misr: al-Matbaah al-Amiriyah, 1310H, jil. 3, hlm. 410)
Hujah pendapat ini ialah kandungan yang masih belum ditiupkan roh masih belum dianggap sebagai seorang manusia. Oleh itu, menggugurkan kandungan yang masih berada pada peringkat nutfah, alaqah dan mudghah yang belum berusia 120 hari iaitu sebelum janin itu bernyawa, tidak dianggap sebagai membunuh seorang manusia, namun jika dilakukan tanpa sebarang keuzuran yang diiktiraf oleh syarak, wanita yang menggugurkan kandungannya itu berdosa.
Disyaratkan perlu wujud keuzuran kerana walaupun janin itu masih belum bernyawa, tetapi ia sudah berada di dalam rahim ibunya dan sudah bermula proses kehidupan. (al-Zuhaili, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, cet. ke-3, Dimashq: Dar al-Fikr, 1989, jil. 3, hlm. 557)
Namun, menurut majoriti para pakar perundangan Islam, jika dalam keadaan darurat, maka pengguguran janin yang sudah bernyawa adalah dibenarkan. Contoh keadaan darurat ialah bagi menyelamatkan nyawa ibu. Imam al-Syarbini al-Khatib, ulama bermazhab Syafie menjelaskan, Jika seorang wanita mengandung terpaksa makan ubat sehingga menyebabkan kandungannya gugur, maka al-Zarkasyi berkata, Wanita itu tidak bersalah." (al-Khatib, Muhammad al-Syarbini, Mughni al-muhtaj, Lubnan: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, t.th., jil. 4, hlm. 103.)
Mahmud Syaltut, mantan Syeikh al-Azhar menjelaskan, Jika disahkan melalui kaedah yang berautoriti, keberadaan janin yang sudah bernyawa di dalam rahim boleh membahayakan nyawa ibu, maka syariat Islam menurut kaedah umumnya menyuruh kita mengambil kemudaratan yang lebih ringan bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar, maka dibenarkan janin itu digugurkan." (Zaidan, Abd al-Karim, al-Mufassal fi ahkam al-marah wa al-bayt al-Muslim fi al-Syariah al-Islamiyah, cet. ke-2, Beirut,hlm. 126-127)-sumber
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment