Isu semasa dunia islam

Thursday, 27 March 2014

Menjaga Keharmonian Rumah Tangga

No comments :
ALLAH SWT menjadikan lelaki dan wanita saling memerlukan dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Ibarat antara siang dan malam. Justeru, apabila kita memerhatikan ketelitian al-Quran, ia menggabungkan perkataan malam dan siang serta perkataan lelaki dan wanita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), dan siang apabila ia lahir terang-benderang. Demi yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina). Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. (al-Lail: 1-4).

Google Image
Malam dan siang mempunyai peranan tersendiri seperti malam untuk berehat dan bertenang, manakala siang untuk bekerja dan berusaha mencari kehidupan.

Antara tanda yang menunjukkan adanya hari kebangkitan dan dikumpulkan seluruh manusia di hadapan Allah SWT ialah dengan menjadikan bidadari daripada isteri sendiri untuk menikmati kebahagiaan-Nya. Secara tidak langsung, Dia menanamkan rasa cinta dan kasih sayang bagi membentuk kehidupan keluarga dengan sistem yang baik.

Dalam kehidupan suami isteri, jika ada dua perasaan yang wujud pasti akan mengikat kebahagiaan hidup hingga ke akhirnya. Perasaan itu ialah mawaddah dan rahmah.

Ibnu Abbas r.a memberi pengertian yang indah tentang dua perasaan. Katanya, mawaddah ialah cinta seorang lelaki kepada isterinya dan rahmah ialah perasaan belas kasihan jika pasangannya ditimpa sesuatu musibah.

Jika diteliti antara sebab krisis rumah tangga ialah kerana ketidakfahaman makna daripada falsafah perkahwinan. Justeru, krisis daripada ketidakfahaman ini menyebabkan berlakunya kehancuran rumah tangga selang beberapa tahun perkahwinan dan jika masih dalam ikatan perkahwinan pun, sudah tentu tetapi tidak ada persefahaman dan kerukunan yang sepatutnya dikecapi oleh orang yang mendirikan rumah tangga.
Al-Quran memberi teori Ilahi bahawa mawaddah warahmah ini akan menjadi benteng yang kukuh bagi memastikan kelangsungan dan kkeharmonian rumah tangga.

Firman Allah SWT: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (ar-Rum: 21)

Syah Waliyullah Al Dahlawi seorang mujaddid dan ulama besar dari India menyebut tiga pengertian tentang makna bergaul dengan baik iaitu menyediakan makanan dan pakaian serta berinteraksi dengan baik.

Muhammad Abduh menjelaskan antara bentuk interaksi yang baik ialah berbicara dengan baik, mendengar segala keluhan dan masalah isteri, bergurau, memahami perasaan dan mengungkapkan kata-kata romantik.
Perasaan kasih dan belas kasihan adalah sesuatu yang harus dipupuk dari semasa ke semasa.

Cabaran hidup rumah tangga memanglah kuat dan hebat. Mungkin pasangan yang di awal perkahwinannya seorang yang kuat kini telah menjadi lemah. Asalnya kaya kini menjadi miskin, dahulunya cantik kini berubah berdasarkan peningkatan usia. Mungkin perasaan cinta itu semakin berkurangan tetapi perasaan belas kasihan itu bertambah.-sumber

No comments :

Post a Comment