Monday, 28 April 2014
Antara Jihad dan Bughah
Dalam Islam jihad merupakan amalan yang berada pada kedudukan yang
sangat tinggi di sisi Allah. Manakan tidak, dalam hadis Mu'az Bin Jabal
r.a., Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menjelaskan kedudukan jihad dengan
sabdanya, "Kepala segala perkara adalah Islam, tiangnya pula adalah
solat, dan puncaknya adalah jihad". (riwayat Ahmad, Tirmizi, dan Ibn
Majah).
Kedudukan jihad yang berada di puncak dari segala amalan lain
menunjukkan bahawa ia adalah antara amalan yang paling disukai Allah.
Ini jelas digambarkan dalam hadis Abu Hurairahr.a. ketika Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam ditanya, "Amalan apakah yang paling afdal?".
Baginda menjawab, "Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya". Baginda ditanya
lagi, "Kemudian apa?". Baginda menjawab, "Jihad pada jalan Allah".
(riwayat Bukhari).
Namun perkataan jihad hendaklah difahami secara betul. Tidak ada
kaedah memahami istilah jihad kecuali melalui ilmu yang bersumberkan
al-Quran dan Sunnah. Ilmu daripada sumber yang sahih adalah satu-satunya
kunci untuk memahami pengertian jihad pada jalan Allah. Kesilapan dalam
memahami pengertian jihad dan menggunakan istilah tersebut bukan pada
tempatnya boleh membawa padah dalam agama dan mengheret kepada
malapetaka di akhirat.
Apakah maksud jihad pada jalan Allah?
Dalam mendefinisikan jihad, Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan,
"Pengerahan tenaga dalam memerangi golongan kafir". Badruddin Al-Aini
juga memberikan definisi yang hampir sama iaitu, "Pengerahan tenaga
dalam memerangi golongan kafir demi untuk menegakkan kalimah Allah".
Antara garis panduan penting dalam jihad ialah jika sesebuah negara
mempunyai pemerintah Islam, jihad hendaklah dilakukan di bawah kelolaan
atau mandat pemerintah Islam tersebut. Peperangan secara persendirian
atau yang dilakukan oleh kelompok-kelompok terpencil yang tidak diberi
mandat atau keizinan daripada pemerintah tidak dinamakan sebagai jihad.
Ini difahami daripada ayat al-Quran yang menyebut, "Wahai orang-orang
yang beriman, Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah
beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan
(dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)?".
(Surah al-Taubah, ayat 38).
Justeru jihad fisabilillah hendaklah dijalankan di bawah arahan
pemerintah yang membuat seruan dan pengisytiharan jihad. Hadis Abu
Hurairah r.a. juga mengisyaratkan kepada perkara ini, iaitu sabda Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam, "Pemerintah adalah perisai yang mana di
belakangnya peperangan dilancarkan, dan kepadanya dirujuk (pandangan dan
tindakan)", (riwayat Bukhari dan Muslim).
Daripada nas-nas di atas, ulama dari kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah
menegaskan bahawa jihad hendaklah dilakukan dengan arahan pemerintah
Islam. Antaranya, Imam Ahmad menyatakan, "Dan(hukum) peperangan adalah
berterusan bersama-sama dengan para pemerintah sehingga hari kiamat,
sama ada pemerintah yang baik atau yang jahat, jihad tidak
ditinggalkan".
Segelintir masyarakat Islam pada akhir-akhir ini disebabkan kurang
kefahaman dalam hukum-hakam, tersilap dalam memahami istilah jihad
sehingga menganggap suatu yang bukan jihad sebagai jihad. Antara
kesilapan faham yang berlaku ialah apabila menganggap bahawa penentangan
secara fizikal terhadap pemerintah Islam boleh dimasukkan sebagai suatu
jihad jika pemerintah tersebut melakukan kezaliman.
Perlu difahami bahawa amar makruf dan nahi mungkar adalah satu
kewajipan ke atas setiap orang yang mampu menjalankannya. Tidak
terkecuali jika pemerintah atau pemimpin melakukan kesilapan, mereka
wajar dan wajib ditegur melalui kaedah-kaedah yang telah digariskan
dalam Islam.
Walaupun begitu, amar makruf dan nahi mungkar tidak boleh sampai
kepada tahap penentangan secara fizikal terhadap pemerintah yang boleh
membawa kepada kemudaratan yang sangat besar jika tidak dikawal. Jika ia
dilakukan oleh kelompok-kelompok penentang kerajaan sehingga membawa
kepada penentangan bersenjata, maka ia boleh termasuk dalam perbuatan
bughah.
Siapa dan apakah Bughah?
Menelusuri keterangan fuqaha dalam mendefinisikan bughah, didapati
bahawa terdapat beberapa versi takrifan bughah mengikut perbezaan mazhab
yang pelbagai. Namun kesemua definisi bughah adalah merujuk sekitar
perbuatan keluar melakukan penentangan terhadap pemerintah yang sah.
Sebagai contoh, Ibn ‘Arafah mendefinisikan bughah sebagai, "Mereka yang
enggan memberikan ketaatan kepada orang yang sah sebagai pemerintah,
(dan ketaatan itu) bukan dalam perkara maksiat, dengan cara memerangi,
walaupun ia disebabkan takwil (keraguan)". Dalam mazhab Syafie,
Al-Nawawi mendefinisikan bughah sebagai, "Orang yang menyalahi
pemerintah bagi kumpulan yang adil, dan keluar daripada ketaatan
kepadanya dengan cara enggan melaksanakan kewajipan atau lain-lain
dengan syarat-syaratnya".
Walaupun unsur utama dalam menentukan bughah ialah tindakan menentang
atau tidak mentaati pemerintah, namun secara praktikalnya istilah
bughah tidak boleh dihalakan kepada sesuatu kumpulan kecuali ia
mencukupi syarat-syarat untuk dilabel sebagai bughah. Ini kerana istilah
bughah merupakan satu istilah yang besar dalam siasah syar'iyyah kerana
membawa implikasi yang sangat besar terhadap mereka yang terlibat. Di
sana terdapat beberapa ciri-ciri dan syarat untuk melabelkan sesuatu
kumpulan sebagai bughah.
Secara ringkas, ciri-ciri dan syarat-syarat tersebut adalah:
a)Kelompok tersebut adalah dari kalangan kaum muslimin. b)Kelompok tersebut keluar daripada mentaati pemerintah yang sah.
c)Kelompok tersebut mempunyai kekuatan.
d)Kelompok tersebut dipimpin oleh ketua.
e)Kelompok tersebut mempunyai takwilan (kekeliruan/syubhah) dalam tindakannya.
Kaedah menangani golongan bughah
Secara asasnya, kaedah dalam menangani isu bughah jika ia berlaku
dalam sesebuah negara ialah sebagaimana difirmankan oleh Allah dalam
Al-Quran, "Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang,
maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim
terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia
kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah
di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku
adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil". (Al-Hujurat: 9).
Dalam ayat di atas, Allah Taala mengarahkan supaya dalam menangani
kes peperangan antara dua kelompok orang Islam, hendaklah dimulakan
dengan perdamaian antara kedua-dua golongan. Jika sekiranya perdamaian
tidak membawa hasil dan mereka berterusan dalam memerangi kumpulan Islam
lain, maka alternatif seterusnya ialah memerangi kumpulan bughah
tersebut. Al-Mawardi mengatakan, "Ayat ini menunjukkan bahawa hendaklah
dimulakan dengan sulh (perdamaian) sebelum memerangi mereka".
Para ulama yang membincangkan tentang menangani bughah mengemukakan beberapa kaedah iaitu:
i- Memberi nasihat dan merungkai kekeliruan
Di dalam kitab al-Lubab, "Apabila suatu kumpulan dari kalangan muslimin menguasai suatu negeri, dan keluar daripada ketaatan kepada pemerintah, pemerintah hendaklah menyeru mereka supaya kembali kepada jemaah, dan merungkaikan kekeliruan mereka".
ii- Memberi amaran kepada mereka
Pemerintah hendaklah terlebih dahulu memberi amaran terhadap kumpulan
bughah. Sebagaimana Zakaria al-Ansari menyebut, "Dan hendaklah
pemerintah kita memulakan secara wajib dengan menghantar orang yang
boleh memberi amaran kepada mereka".
iii- Mengisytiharkan peperangan
Jika sekiranya nasihat tidak didengari, dan amaran juga tidak
diendahkan, malahan mereka berterusan dengan penentangan terhadap
pemerintah dan berterusan menjadi bughah, maka fasa seterusnya ialah
mengisytiharkan peperangan terhadap bughah.
Demikian hukuman bagi kelompok bughah yang melakukan penentangan dan
keluar daripada mentaati pemerintah. Justeru, adalah amat penting bagi
setiap muslim untuk memahami mafhum jihad secara sebenar, dan mengerti
perbezaan antara jihad dan bughah. Jangan sampai fadhilat jihad yang
dimahukan, tetapi dosa bughah yang tercatat. Jangan sampai mati syahid
yang didambakan, tetapi mati Jahiliyyah yang diperoleh. Segala-galanya
hendaklah bermula dengan ilmu. - JAKIM
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment