Isu semasa dunia islam

Thursday, 4 September 2014

Makam Rasulullah Bakal Dimusnahkan

No comments :
Arab Saudi – Hanya disebabkan tindakan sesetengah individu yang melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran agama, satu cadangan telah dikemukakan kepada kerajaan Arab Saudi untuk merobohkan makam junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang merupakan antara tempat paling dihormati oleh maysarakat Islam.

Melalui cadangan tersebut makam tersebut bakal dirobohkan manakala jasad baginda akan dipindahkan ke sebuah kubur tanpa nama (yang akan dirahsiakan)


Menurut laporan portal The Independent cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada dokumen berhalaman 61 muka surat, yang dikemukakan oleh para akademik terkenal negara tersebut.

Kajian akademik tersebut telah mengemukakan cadangan itu sebagai sebahagian daripada dokumen perundingan yang telah diedarkan di kalangan penyelia Masjid Nabawi, Madinah, di mana terletaknya makam Nabi yang dikunjungi berjuta-juta jemaah haji dan dianggap sebagai tapak kedua paling suci bagi umat Islam.

Ulama Arab Saudi yang dilihat kuat berpegang kepada fahaman Wahabi, sebelum ini telah melarang keras sebarang bentuk pemujaan, penyembahan ‘berhala’ atau apa-apa objek yang dianggap sebagai amalan ‘syirik’ dan melanggar hukum syarak.

Beberapa halaman dokumen perundingan yang baru sahaja diterbitkan menggesa kemusnahan bilik serta kawasan sekitar kubur – yang pernah digunakan oleh ahli keluarga dan sahabat Nabi Muhammad SAW.

Sementara itu Pengarah Yayasan Penyelidikan Warisan Islam, Dr. Irfan al-Alawi melahirkan rasa kesal atas cadangan tersebut.

“Orang ramai yang menziarahi masjid Nabi untuk melihat kawasan rumah baginda dikatakan telah berpaling ke kawasan makam untuk bersolat (menjadikan makam sebagai kiblat).

“Disebabkan mahu menghalang perbuataan (syirik) itu mereka mencadangkan untuk memindahkan jasad baginda” ujarnya.

Dr. Irfan menjangkakan, cadangan tersebut bakal menimbulkan kemarahan masyarakat di seluruh dunia.

“Saya pasti seluruh dunia Islam akan terkejut terhadap perkara ini dan ia akan menyebabkan kemarahan,” jelasnya.

Sehingga kini, tiada sebarang keputusan yang diambil berhubung cadangan tersebut.

Ketika ini Masjid Nabawi boleh menampung 800,000 jemaah pada satu-satu masa. Manakala pada tahun depan, ia dijangka bakal mencecah sehingga 1.2 juta jemaah ekoran pembangunan yang terangkum melibatkan Madinah dan Mekah dengan kos sebanyak SR300 bilion.

Perluasan masjid ini semasa era Raja-raja Saudi kedua bermula 1994 merupakan yang terbesar. Pada perluasan pertama 1950-an, masjid dapat menampung 28,000 jemaah tetapi pada 1990-an dengan ditambah ruang-ruang halaman, kapasiti jemaah mencapai angka sedia ada.

Selain Raudhah dan Makam Nabi, mimbar dan mihrab dalam bahagian masjid ini ada kisah menariknya. Pada mulanya atap masjid Rasulullah ini dipasang pada batang kurma (maksudnya batang tersebut menjadi tiang penyangga). Maka Nabi apabila berkhutbah, baginda berdiri dekat batang tersebut dengan terkadang berdiri cukup lama. Lalu, seorang wanita Ansar menyapa: “Wahai Rasulullah, bolehkah kami membuatkan mimbar untukmu. Rasulullah menyetujuinya.

Kemudian para sahabat membuatkan mimbar untuk baginda. Tiga anak tangga dibuat dari pohon thurfa’. Pada Jumaat berikutnya, beliau berkhutbah di atas mimbar, maka batang kurma tersebut menangis – berteriak seperti rengekan bayi.

Kemudian Nabi turun dan memegang pohon tersebut. Pohon itu teresak-esak seperti bayi yang didiamkan.

Rasulullah bersabda: “Pohon itu menangis kerana tidak lagi mendengar zikir yang biasa didengarnya.”

Diriwayatkan dari Abu Hurairah, sabda Nabi: “Di antara rumah dan mimbarku adalah salah satu taman syurga. Dan mimbarku ini ada di atas telagaku.” ­

Sumber:Suaratv

No comments :

Post a Comment