Wednesday, 7 May 2014
Beza Antara Nazar dan Azam
Menurut Kamus Dewan (2005), istilah azam merujuk kepada ‘kemahuan (keinginan, cita-cita dan sebagainya) yang sangat kuat, tujuan (yang sesungguhnya)’ manakala nazar ialah ‘janji untuk berbuat sesuatu apabila tercapai hajat, kaul dan niat’.Ada perbezaan antara azam dan nazar iaitu azam berupa kemahuan yang tinggi untuk mendapatkan sesuatu dan nazar pula janji yang akan ditunaikan apabila tercapai suatu cita-cita.
Contohnya apabila seseorang mengatakan ia bernazar untuk puasa sunat tiga hari apabila berjaya mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Apabila keputusan seperti yang diinginkan berlaku, dia wajib menunaikan nazar untuk berpuasa.
Dengan kata lain, nazar ialah janji atau sumpah untuk berbuat baik apabila mewajibkan perkara sunat dengan seseorang itu berniat mendekatkan diri kepada Allah kerana mencapai suatu yang diimpikan.
Ia hendaklah dengan menyebut nama Allah seperti: “Dengan nama Allah aku akan puasa tiga hari apabila aku lulus peperiksaan.” Kata-kata ini berupa nazar yang wajib dikotakan apabila maksud berkenaan tercapai.
Apabila tidak menunaikan nazar atau menarik balik nazar itu seseorang hendaklah membayar kifarat (denda) iaitu memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Jika tidak mampu melakukannya, hendaklah berpuasa sebanyak tiga hari.
Kifarat nazar sama dengan kifarat sumpah. Ini seperti dijelaskan dalam al-Quran mengenai kifarat sumpah iaitu: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah mengenai sumpah kamu yang tidak disengajakan, tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat.
“Maka dendanya memberi makan 10 orang miskin daripada jenis makanan sederhana yang kamu berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.
“Kemudian sesiapa yang tidak dapat, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda sumpahmu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, ayat 89)-sumber
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment