Tuesday, 15 April 2014
Kenapakah Fitnah Dajjal itu Bahaya Kepada Umat Islam ?
Unknown
04:07
Kenapakah Fitnah Dajjal itu Bahaya Kepada Umat Islam ?
,
Pena Minda Islam
No comments
:
Kenapa Fitnah Dajjal itu bahaya kepada Islam ?
Dajjal
seperti yang digambarkan di dalam hadis ialah seorang lelaki yang buta
sebelah matanya dan tertulis di antara kedua matanya itu perkataan
kafir. Mendengar fizikalnya seperti ini pasti ramai yang tertanya-tanya
apakah bahayanya Dajjal kepada umat Islam ?
Bukankah semua orang pasti sudah tahu akan kesesatannya dan mengenal tanda-tandanya ?
Jawapannya
ialah ramai orang sebenarnya jahil dan memandang rendah kepada fitnah
Dajjal serta tidak mengetahui betapa bahayanya Dajjal kepada manusia dan
tidak pula bersiap sedia untuk menghadapi kebangkitan dan fitnahnya.
Fitnah Dajjal disebut oleh nabi salallahualaihiwassalam sebagai fitnah yang terbesar akan menimpa manusia. Rasulullah
salallahualaihiwassalam pernah bersabda (yang bermaksud) :
“Sejak
penciptaan Adam sehinggalah terjadinya kiamat tidak ada perkara lain
yang lebih besar dari Dajjal.” (Hadis riwayat Muslim)
Di
dalam riwayat yang lain, Abdullah Ibn Umar ra berkata rasulullah
salallahualaihiwassalam bersabda :
“Aku sungguh-sungguh berwasiat agar
kamu semua berhati-hati terhadapnya. Tidak ada seorang nabi pun yang
tidak memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal namun aku akan
memberitahu kalian tentang sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh
seorang nabi pun sebelumku kepada kaumnya iaitu bahawa Dajjal itu buta
sebelah matanya dan Allah itu tidaklah buta sebelah mata. (Hadis riwayat
Bukhari)
Berapa
ramai orang yang membaca hadis-hadis seperti ini tetapi mereka
melaluinya seperti tidak mendapati apa-apa bahaya dan merasa terancam
olehnya. Kata mereka sudah banyak orang yang mengaku nabi sejak dari
zaman awal Islam. Sudah ramai tokoh-tokoh palsu, ajaran sesat dan kepala
pendusta agama yang membawa ajaran ganjil ini yang telah berjaya
dihapuskan dan beranggapan Dajjal ini akan muncul seperti golongan
sesat, ahli bid’ah dan golongan menyeleweng yang lain serta berada
sebaris dengan tokoh-tokoh pemalsu agama seperti Ayah Pin, Qadiani dan
nabi palsu lainnya.
Oh mereka itu ternyata silap sama sekali !
Dajjal
itu kelasnya bukanlah setaraf dengan nabi palsu atau wali-wali keramat
dan tok guru yang dapat ditangkap dan dipenjarakan.
Dajjal itu bahkan mengaku dirinya sebagai tuhan dan mempunyai pelbagai keajaiban dan kekuatan yang tidak dapat dibayangkan !
Dajjal
itu fitnahnya ialah kesyirikkan global dan kehancuran dunia serta
mengangkat kekufuran dan menyeliputi seluruh alam dengan kepalsuan dan
kebathilan.
Lawan
Dajjal itu pula bukanlah seorang polis agama atau Kadi dan mufti
sebaliknya seorang rasul khas yang ditugaskan secara khusus untuk
memerangi Dajjal di akhir zaman.
Nabi Isa alaihisalam yang kini berada di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT : “dan
kerana ucapan mereka: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa
putra Maryam, Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak
(pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang
diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang
berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan
tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa
yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak
(pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa. Tetapi (yang
sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa : 157-158)
Jadi masihkah anda mampu memandang rendah ?
Di
dalam sebuah hadis dari jalan Abu Umamah ra bahawa nabi
salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda :
“Wahai sekalian manusia,
sesungguhnya sejak Allah memperbanyakkan keturunan Adam itu tidak
adalah fitnah di atas muka bumi ini yang lebih besar selain fitnah
Dajjal. Dan Allah azza wa jalla tidaklah mengutuskan seorang nabi pun
kecuali mereka memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal. Aku ialah
nabi yang terakhir dan kamua semua pula adalah umat yang terakhir.
Sesungguhnya Dajjal itu pastilah akan muncul di tengah-tengah kamu
semua.”(hadis riwayat Ibn Majah, Ibn Khuzaimah dan Al-Hakim di dalam
Mustadrak)
Jika para rasul di setiap zaman pun merasa takut dan
memperingatkan bahayanya Dajjal serta nabi Muhammad
salallahualaihiwassalam sendiri berasa bimbang dan sentiasa berpesan
kepada para sahabatnya tentang fitnah lelaki buta ini maka apakah alasan
dan puncanya yang menyebabkan anda tidak berasa bimbang ?
Hafal 10 ayat Surah Al-Kahfi halau Dajjal
Diriwayatkan
Nabi salallahualaihiwassalam bersabda :
“Barangsiapa yang menghafaz 10
ayat yang awal dari surah Al-Kahfi akan di pelihara dan di selamatkannya
dari fitnah Dajjal.” (hadis riwayat Muslim)
Rupa-rupanya
budaya Melayu baca Al-quran untuk menghalau hantu masih menebal di
dalam minda. Amalan membaca Yassin malam Jumaat yang dianggap dapat
menyelesaikan masalah, seperti membuat air penawar untuk anak menduduki
peperiksaan dan mencari siapakah pencuri dalam kampong atau asrama masih
bersarang di minda orang Melayu.
Firman Allah SWT : “Dan
apabila kamu membaca Al Quran nescaya Kami akan adakan di antara kamu
dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat itu suatu
dinding yang tertutup.” (Al-Isra : 45)
Patutlah
umat Islam kebanyakkannya tidak berasa bimbang dengan fitnah Dajjal
kerana mereka menyangka kononnya mereka sudah mempunyai tangkal azimat
berupa ayat-ayat Al-Kahfi buat menakut-nakutkan Dajjal.
Nyah kau dari sini ! Aku bacakan surah Al-Kahfi nanti !
Agaknya mungkin itulah dialog yang mereka rancang untuk gunakan apabila berhadapan dengan Dajjal nanti.
Jika
begitu mudah menghalau Dajjal maka tidak perlulah para rasul dari zaman
berzaman berpesan dan memperingatkan umatnya tentang bahaya Dajjal.
Bahkan
di dalam sebuah hadis dari jalan Imran bin Hussain ra bahawa rasulullah
salallahualaihiwassalam pernah bersabda :
“Siapa yang mendengar Dajjal
hendaklah dia menjauhinya. Demi Allah, ada seorang lelaki yang datang
kepadanya dengan penuh yakin dirinya sebagai seorang mukmin namun
ternyata akhirnya lelaki itu kemudian menjadi pengikut Dajjal kerana
tipu daya yang dilakukannya.” (hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Bahayanya Dajjal itu terletak pada tipu-dayanya !
Musibah
dan fitnah yang menimpa umat Islam akibat dari kedatangan Dajjal ialah
pada aqidah dan kehidupan beragama mereka yang tergugat dengan sistem
dan nilai yang dibawa oleh Dajjal.
Bermula
dari Rasul yang awal, Nabi Nuh Alaihissalam sehinggalah kepada nabi
Muhammad Salallahualaihiwassalam semuanya membawa tauhid dan menyeru
manusia kepada Allah SWT serta mengajak supaya menjauhi thaghut iaitu
syirik dan kebathilan.
Bahayanya
fitnah Dajjal itu adalah lebih besar dari kebahayaan syirik dan
kefasikan yang pernah terjadi pada umat-umat terdahulu.
Ini
kerana melalui tauhid dan Islam yang dibawa oleh setiap Rasul, manusia
yang berakal dan waras akan mampu berfikir dengan kebijaksanaan mereka
untuk memilih deen Allah dan menerima Islam sebagai salah satu cara
hidup.
Hanya
sahaja ianya tidak begitu mudah berlaku dalam sejarah para rasul
terdahulu disebabkan oleh pertentangan golongan tua dan adat jahiliyyah
mereka yang ketat dan kerana keterikatan mereka dengan peninggalan agama
nenek moyang dan sikap taklid buta.
Namun
secara umumnya apabila golongan tua dan ketua-ketua kufur ini telah
ditewaskan dalam peperangan atau meninggal dunia maka kaum muda dan
generasi baru mereka begitu mudah menerima Islam.
Hal ini disebabkan kesyirikkan dan kebathilan itu ternyata suatu kekotoran dan cara hidup mereka adalah amat buruk.
Kufur itu buruk apabila mereka menyembah tuhan yang banyak dan berselisih.
Zina itu juga buruk apabila mereka didatangi dengan pelbagai penyakit dan menjadi resah oleh keturunan yang tercemar.
Penipuan
dalam timbangan serta riba juga adalah buruk kerana mereka dianaiyai
dan selalu ditindas oleh orang yang lebih bijak dan lebih mempunyai
kelebihan ekonomi dan yang lemah terus diperhambakan.
Apabila
datangnya Islam maka sudah tentu masyarakat Jahiliyyah ini
berbodong-bondong mahu masuk ke dalam agama ini demi mengharap kehidupan
dan kebaikan yang jelas ketara berbanding amalan syirik dan kehidupan
tanpa syariat.
Firman Allah SWT : “Apabila
telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia
masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.” (An-Nasr : 1-2)
Tetapi ajaran dan fitnah Dajjal ini lebih dahsyat !
Fitnah
Dajjal ialah apabila Dia membawa ajaran dan sistem nilai serta cara
hidup yang dapat ditonjolkan sebagai atau kelihatan seolah-olah lebih
baik dari sistem Islam.
Firman Allah SWT :
“Celupan
Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan acuan Islam) dan
siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.” (Al-baqarah : 138)
Ajaran
Dajjal seolah-olah satu bid’ah (penambahan) dan pelengkap sehingga
manusia merasa sayang untuk tidak menggunakannya dan merasa rugi jika
tidak menerima apa yang dibawa oleh Dajjal kerana ianya kelihatan lebih
baik dari Deen Allah dan lebih bagus serta lebih sesuai untuk diamalkan
dan dilaksanakan di atas muka bumi ini dari syariat Allah SWT.
Firman Allah SWT :
“Katakanlah:
"Tidaklah sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang
buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah wahai
orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keuntungan." (Al-Maidah :
100)
Itulah bahaya paling besar Dajjal ke atas manusia !
Apabila
umat Islam selama ini beraqidah dengan Al-Quran dan As-sunnah maka
Dajjal membawa sistem pemikiran dan keyakinan berasaskan realiti semasa
dan fakta serta mengajak umat Islam untuk berpindah dari kitab Allah dan
Sunnah rasul-Nya kepada faham baru yang kelihatan seolah-olah lebih
baik dan lebih menyesuai dengan zaman dan tuntutan semasa.
Demikian juga di dalam perihal ibadah, solat,
puasa, zakat dan haji serta amalan-amalan agama yang lain semuanya akan
menerima pengaruh Dajjal sehingga seolah-olah kedatangan Dajjal itu
merupakan suatu rahmat dan kebaikan yang melengkapkan Deen Islam yang
masih kurang dan tidak lengkap.
Apabila
Islam mengajar manusia tentang hukum-hakam dan peraturan jenayah serta
undang-undang maka Dajjal pun membawa sistem peraturan dan
undang-undangnya yang kemudian diterima serta dipakai di seluruh dunia
dengan anggapan ianya lebih adil dan bertimbang rasa dari undang-undang
Islam.
Begitu
juga dengan pemerintahan, politik dan sebagainya. Manusia pasti akan
terpedaya dengan sistem dan cara hidup Dajjal yang mengubah sistem nilai
dan fokus umat Islam daripada mempertuhankan Allah SWT perlahan-lahan
bertukar kepada mempertuhankan kekuasaan Dajjal.
Dari
syura kepada demokrasi, dari ekonomi berteraskan kebajikan dan usaha
kepada penindasan riba dan kapitalis. Dari sistem undang-undang syariah
kepada peraturan sivil dan perlembagaan Negara. Perlahan-lahan idea
Dajjal berjalan dan bergerak masuk ke dalam kehidupan umat Islam.
Siapakah yang dapat menyelamatkan diri dari Dajjal ?
Firman Allah yang bermaksud :
“Iblis
berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku
sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan
ma'siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,
kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka." (Al-Hijr : 39-40)
Anda
mungkin dapat menyelamatkan diri anda daripada Dajjal jika sekarang ini
pun anda masih seorang Muslim dan mukmin yang kuat bertawakal dan hanya
yakin kepada Allah SWT. Maksudnya anda bukanlah ahli MLM, atau peminat
setia kelab rahsia tarikh lahir dan pelangan dukun dan bomoh.
Ini
kerana Dajjal berkuasa meramal dan mendapat pertolongan Syaitan serta
mampu melakukan hal-hal yang luar biasa seperti menyembuhkan orang yang
sakit, memanggil dan menahan hujan serta pelbagai lagi keajaiban.
Jika
bomoh patah yang menggunakan jin pun orang sanggup percaya demi
terbelit oleh tipuan syaitan yang menggunakan ayat keramat berbunyi :
“Apa salahnya kita mencuba berikhtiar saja, mana tahu kalau-kalau
sembuh.” Bayangkan jika Dajjal yang muncul dan sememangnya mampu merawat
pelbagai jenis penyakit seperti kanser, buah pinggang, kencing manis
dan jantung ??
Siapakah yang dapat menolak ajakan dan godaan Dajjal ?
Orang
kita sanggup berbuat apa sahaja demi sembuh dari sakit walaupun
berjumpa bomoh yang jelas diharamkan oleh Islam inikan pula Dajjal yang
datang dengan tipudaya dan kemampuan yang lebih dahsyat.
Di
dalam hadis juga menyebutkan bahawa Dajjal berupaya mendatangkan rezeki
dan kekayaan serta hasil bumi kepada kaum yang beriman dengannya dan
menarik serta menahan rezeki kepada golongan yang mengingkari ajakannya.
Si
Dajjal ini selain dari tipudaya yang berupa magik dan keajaiban dia
juga mampu menghidupkan orang yang sudah mati serta boleh mendatangkan
syurga dan neraka sehingga mengabui mata manusia bahawa tidak syak lagi
dia inilah tuhan yang sebenar.
Nah,
bahaya yang diungkapkan oleh nabi Salallahualaihiwassalam bukanlah
bahaya fizikal dan badan tetapi jiwa dan agama yang bakal dimusnahkan
oleh Dajjal apabila tiba fitnahnya kepada kemuncak di akhir zaman.
Sesungguhnya
Dajjal itu tidaklah berkuasa tetapi yang berkuasa itu adalah Allah SWT.
Bahkan segala keajaiban Dajjal adalah dari Allah jua sebagai ujian
kepada manusia untuk melihat siapakah yang benar-benar beriman.
Hanya
yang ikhlas dan jujur dalam beragama kerana mengharap redha Allah SWT
sahaja yang dapat selamat dari kedahsyatan fitnah Dajjal.
Sungguh
layak kebimbangan baginda rasul apabila fitnah Dajjal itu bagaikan
singa lapar yang mengeroyak Iman yang nipis seperti kulit bawang.
Kerana
itulah dari Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwassalam
telah mengajar kita agar selalu berdoa dengan sabdaNya :
إِذَا
تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ ، يَقُولُ :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ
الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ
فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya : “ Apabila seseorang dari kamu telah bertasyahud maka
hendaklah dia membaca doa memohon perlindungan Allah daripada empat
perkara iaitu ya Allah, aku berlindung denganMu daripada azab jahannam,
daripada azab kubur, daripada fitnah hidup dan selepas mati dan daripada
kejahatan fitnah al-masih Dajjal.” (hadis riwayat Muslim)
Akhir kata, masihkah anda berasa Dajjal itu tidaklah bahaya dan tidak perlu dibimbangkan ?
Segala puji hanyalah bagi Allah SWT.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment