Isu semasa dunia islam

Wednesday, 19 March 2014

RAWATAN PESAKIT KOMA MENURUT AL-QURAN

No comments :
Google Image
Tubuh badan yang dicipta oleh Allah SWT mempunyai fungsi dan tuntutan yang tertentu. Setiap bahagian daripada tubuh badan manusia sama ada otot, tulang dan sendi memainkan peranan tersendiri untuk memudahkan pergerakan dalam kehidupan manusia. Sebagai timbal baliknya pula, gerakan dan senaman yang dilakukan oleh manusia akan membantu untuk menambah jangka hayat anggota tubuh badan mereka.
Peranan untuk menggerakkan tubuh badan yang sihat biasanya akan terbantut apabila seseorang itu berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri atau mengalami koma.

Perkataan koma ini berasal daripada bahasa Greek yang bermaksud tidur yang nyenyak. Menurut ilmu perubatan moden, koma diistilahkan sebagai keadaan tidak sedarkan diri yang mendalam. Pesakit koma tidak mampu untuk disedarkan, gagal untuk bergerak secara sukarela, gagal untuk memberikan tidak balas kepada sebarang rasa sakit dan pergerakan cahaya.

Pesakit koma juga dikategorikan berada di dalam keadaan tidur yang luar biasa kerana tidak terikat dengan kitaran tidur yang biasa yang mempunyai kitaran tidur dan bangun.

Koma boleh disebabkan oleh beberapa perkara seperti keracunan, ketidakstabilan metabolism badan, serangan kuman pada saraf tunjang, kecederaan saraf, kekurangan oksigen, trauma pada kecederaan kepala dan sebagainya. Otak para pesakit koma biasanya tidak dapat berfungsi dengan baik untuk mengeluarkan arahan kepada anggota badan seperti lazimnya yang berlaku pada orang-orang yang sihat dan sedar.

Para pesakit koma biasanya terdedah kepada berbagai komplikasi kesihatan yang menjejaskan fungsi tubuh badan mereka. Menurut kajian ilmu perubatan moden, tubuh badan yang static untuk satu masa yang lama akan mengalami kerosakan atau pengecutan otot yang diistilah sebagai atrophy.

Selain atrophy, para pesakit koma yang pasif pergerakannya senang mengalami pengerasan sendi badan, jangkitan kudis pada bahagian belakang dan perjalanan darah yang tidak lancar. Sekiranya komplikasi ini tidak ditangani sewajarnya, para pesakit koma boleh mengalami lumpuh atau mati.

Oleh itu, untuk mengelakkan masalah-masalah tersebut daripada berlaku, pihak Hospital biasanya akan membantu para pesakit koma dengan melakukan aktiviti pergerakan secara berskala setiap hari. Untuk memudahkan proses bantuan tersebut, pihak hospital biasanya akan menggunakan mesin penggerak khusus yang dinamakan sebagai “passive movement machine”. Mesin ini datang dalam bentuk katil berenjin yang dikawal oleh computer.

Selain itu, ripple mattress atau tilam berangin juga digunakan untuk meransang gerakan pada tubuh pesakit koma. Para pesakit yang lama terbaring di atas katil akan terdedah kepada tekanan yang berat kepada beberapa bahagian di belakang yang boleh menghalang pegaliran darah kepada tisu-tisu di bahagian belakang badan.

Tisu dan sel badan yang tidak mendapat aliran darah yang sekata akan mengalami kerosakan dan mengakibatkan ketumbuhan kudis yang amat menyakitkan serta sukar untuk sembuh.

Tilam ini mempunyai pam angin yang bertugas untuk mengatur tekanan secara bersistem dan bergilir-gilir pada belakang pesakit mengikut skala masa yang tertentu. Tekanan bersakala ini menjamin pengaliran darah yang sekata pada belakang pesakit dan mengekalkan kestabilan tubuh badan pesakit.

Rawatan sedemikian sedikit sebanyak dapat membantu para pesakit koma untuk mengekalkan tahap kesihatan fizikal mereka kerana mungkin pada suatu hari nanti mereka akan kembali sedar seperti orang normal yang lain.

Apa yang menakjubkan ialah, al-Quran yang diturunkan kira-kira 1400 tahun dahulu, secara tidak langsung sudah memberikan gambaran umum tentang bentuk rawatan sedemikian.

Ketika menceritakan perihal tidur 7 orang pemuda di dalam sebuah gua selama 300 tahun, Allah telah berfirman:

Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
(al-Kahf [18:18]).


Mengulas tentang pergerakan mereka ini, sahabat nabi yang tersohor dengan kepakarannya di dalam bidang tafsir al-Quran iaitu Abdullah ibn ‘Abbas menjelaskan tujuan pergerakan semulajadi yang disebutkan oleh ayat ini adalah untuk memastikan tubuh badan kekal mereka kekal selamat dan tidak dimakan oleh bumi.

Selain itu, penggunaan frasa “dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri” mengikut kaedah tatabahasa Arabnya didatangkan dalam bentuk kata perbuatan Fi’il Mudhari’ yang membawa maksud sedang dan senantiasa berlaku secara berterusan. Ini bermakna, pergerakan mereka itu berlaku secara berterusan selama 300 tahun ketika mereka ditidurkan oleh Allah di dalam gua tersebut.

Apa yang pasti, gerakan yang disebutkan oleh Allah di dalam kisah Ashab al-Kahfi ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi mempunyai hikmah yang tersendiri tentang perlunya badan manusia yang statik dalam masa yang lama senantiasa digerakkan untuk mengelakkan daripada berlaku komplikasi-komplikasi lain sepertimana yang disahihkan oleh ilmu perubatan moden.-sumber

No comments :

Post a Comment