Isu semasa dunia islam

Saturday, 15 March 2014

Jauhi Bomoh dan Sihir, Hindari Syirik #prayforMH370

No comments :
Google Image

Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam melarang umatnya untuk melibatkan diri dengan sihir kerana sihir adalah amalan syaitan dan sesiapa yang melakukannya adalah akan mendapat dosa besar.

Kebiasaannya di dalam masyarakat kita mempercayai dan menggunakan khidmat bomoh untuk menyihir kepada orang yang dibenci atau menggunakan khidmatnya untuk mendapat rawatan  mengubati penyakit berpunca daripada gangguan sihir.

Islam melarang keras umatnya berjumpa bomoh untuk mengetahui perkara-pekara ghaib , tenung nasib, mencari-cari berita sesiapa yang "buat" atau membencinya dan berubat dengannya maka  solatnya tidak akan diterima oleh Allah s.w.t selama 40 hari. Sebenarnya jin dan syaitan akan menceritakan berita bohong kepada bomoh tersebut supaya berlaku perpecahan dikalangan ahli keluarga atau jiran tetangga.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan ini selain mengubati mereka yang sakit, ia juga  menawarkan khidmat tanam susuk, serikan wajah, ilmu pengasih, pelaris perniagaan, pendinding diri (menggunakan bahan-bahan yang telah dipuja), mandi bunga, semahan darah ayam hitam atau kambing hitam (baru buka gelanggang silat atau rumah baru) dan berbagai-bagai amalan syirik yang amat dilarang keras oleh Nabi s.a.w.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib (menggunakan khidmat bomoh) adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.”(Surah al-Maidah, ayat 90)

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."(Surah al-Jinn ayat 6)

Abu Raja' berkata bahawa orang-orang jahiliah sering berdo'a : "Kami berlindung kepada jin, penguasa lembah ini". Namun salah seorang berkata, bahawa jalan untuk meraih keselamatan adalah bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan Muhammad adalah Rasul-Nya. Siapa bersaksi demikian, harta dan keselamatan jiwa orang yang mengucapkannya pasti aman. Kemudian, turunlah ayat ini (Surah al-Jinn ayat 6)." (Hadis Riwayat Ibnu Saad. Lihat Tafsir Ibnu Katsir :6/188-189)

Sahabat yang dimuliakan,
Islam juga melarang kita mempelajari ilmu sihir kerana ilmu sihir adalah amalan syaitan kerana segala kejadian luar biasa yang datang berpunca daripada sihir sebenarnya mempunyai kaitan dengan pertolongan daripada jin dan syaitan

 Firman Allah s.w.t maksudnya : "Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir Yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan Dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir Yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah Yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah Yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa Yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya Dengan berkata: "Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah Engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir Yang boleh menceraikan antara seorang suami Dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) Dengan sihir itu seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari perkara Yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. dan Demi Sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui Bahawa sesiapa Yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian Yang baik di akhirat. Demi Sesungguhnya amat buruknya apa Yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui."(Surah al-Baqarah ayat 102)

Sihir adalah kesepakatan antara tukang sihir dan syaitan dengan ketentuan bahwa tukang sihir akan melakukan berbagai keharaman atau kesyirikan dengan imbalan pemberian pertolongan syaitan kepadanya dan ketaatan untuk melakukan apa saja yang dimintanya.

Ilmu sihir boleh dipelajari melalui tukang sihir atau bomoh-bomoh. Mempelajari sihir boleh menjadikan seseorang syirik kepada Allah s.w.t. Sihir biasanya digunakan untuk mendatangkan mudharat kepada seseorang dengan bantuan jin dan syaitan tetapi kesemuanya adalah dengan izin Allah.

Ibnu Qudamah Al-Maqdisi mengatakan," Sihir adalah ikatan-ikatan, jampi-jampi, perkataan yang dilontarkan secara lisan maupun tulisan, atau melakukan sesuatu yang mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang terkena sihir tanpa berinteraksi langsung dengannya. Sihir ini mempunyai hakikat, diantaranya ada yang bisa mematikan, membuat sakit, membuat seorang suami tidak dapat mencampuri istrinya atau memisahkan pasangan suami istri, atau membuat salah satu pihak membenci lainnya atau membuat kedua belah pihak saling mencintainya"

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjauhi bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan, jika kita menghadapi sakit berpunca daripada gangguan makhluk halus maka jumpalah pakar perubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Qur'an dan do'a dan jampi-jampi yang diambil daripada amalan Nabi s.a.w. dan para sahabat. Dengan ini  kita akan dapat menyelamatkan aqidah kita daripada di pesongkan oleh para bomoh yang mencari keuntungan dan kepentingan diri.

Amalkanlah zikir al-Mathurat yang di susun oleh al-Imam Syahid Hasan al-Banna yang dihimpunkan daripada beberapa ayat-ayat al-Qur'an dan do'a-do'a amalan Nabi s.a.w waktu pagi dan petang. Amalkanlah waktu lepas subuh dan lepas magrib supaya lidah dan hati kita hidup dengan zikir dan mengingati Allah dan dapat terhindar daripada gangguan jin dan syaitan.

Selain daripada berzikir banyakkan membaca al-Qur'an di dalam rumah kita supaya malaikat rahmat akan sentiasa hadir mendengan bacaan al-Qur'an dan syaitan akan menjauhkan dirinya jika para malaikat sentiasa bersama kita, insya Allah.

No comments :

Post a Comment